Minggu lepas Ayue, suami dan anak buah telah membuat satu aktiviti yang lebih bermakna. Kami telah menghadiri Smurfs Movie Day Out anjuran McDonald’s dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang turut dihadiri oleh kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari tiga rumah kebajikan iaitu Amitabha Buddhist Orphanage, Rumah Anak Yatim Shafar & Pertubuhan Kebajikan Shan De Johor Bahru.
Betul lah kata orang, kita takkan dapat faham perasaan seseorang selagi kita tidak berada ditempat mereka. Tersentuh rasa hati Ayue bila melihat kanak-kanak ini sangat teruja untuk melihat filem Smurfs bersama rakan-rakan mereka. Senyuman dibibir mereka sukar untuk Ayue gambarkan. Yang pasti, McDonald’s Malaysia dan RMHC telah memberi mereka sedikit kegembiraan walaupun untuk seketika.
Untuk pengetahuan anda, McDonald’s Malaysia memang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan mereka. Ia telah menubuhkan RMHC yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan melalui empat program utama iaitu:
1. Ronald McDonald House (RMH-PPUKM)
Menawarkan penginapan buat keluarga yang mempunyai anak yang sedang menjalani rawatan di PPUKM (dan juga sekitar Kuala Lumpur) dengan harga yang berpatutan dan selesa di dalam kawasan PPUKM itu sendiri. Rumah tersebut mempunyai 19 bilik tidur dengan bilik mandi dan kemudahan yang lengkap yang bertujuan untuk meringankan beban dan tekanan emosi yang dialami oleh keluarga supaya mereka lebih fokus kepada rawatan anak mereka.
2. Ronald McDonald Sensory Room
Dibina untuk kanak-kanak istimewa dan kurang upaya untuk membangunkan kemahiran kognitif dan membina keyakinan diri mereka. Lebih daripada 5,000 kanak-kanak yang menghadapi perkembangan mental lewat dan masalah sensori termasuklah sentuhan, penglihatan, pendengaran, rasa dan juga bau telah mendapat manfaat daripadanya.
3. Ronald McDonald Gift of Smile
Membiayai pembedahan pembetulan sumbing bibir dan lelangit (cleft lip/palate) serta penjagaan pergigian, perkhidmatan ortodontik, cantuman tulang alveolar dan juga terapi pertuturan untuk memberi senyuman yang sempurna kepada kanak-kanak.
4. Program Biasiswa Ronald McDonald
Bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dengan membantu mereka bersekolah dan menamatkan pendidikan menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Biasiswa Ronald McDonald telah membantu lebih daripada 700 kanak-kanak sejak ia ditubuhkan.
Walaupun tahun lepas Ayue telah terlibat dalam aktiviti yang sama, perasaan Ayue tidak berubah, Ayue tetap berasa tersentuh melihat senyuman yang terukir di bibir kanak-kanak kurang bernasib baik ini apabila mereka dapat keluar berjalan-jalan dan menonton wayang. Sesuatu yang mereka tidak dapat lakukan bersama keluarga mereka. Walaupun pada kita ini mungkin perkara biasa, tapi pada mereka nilainya sangat tinggi.
Kehadiran Ronald McDonald menambahkan lagi kegembiraan mereka. Masing-masing tidak lepas peluang untuk bergambar dan bersalam dengan nya. Lebih-lebih lagi apabila Ronald memang bijak menghiburkan kanak-kanak dengan telatahnya.
Sebelum filem bermula, sempat juga Ayue berborak dengan kanak-kanak dari rumah anak yatim ini. Rupa-rupanya mereka memang menanti badan-badan kebajikan seperti RMHC untuk memberi mereka peluang bergembira seperti ini. Terutama apabila mereka dapat menonton Smurfs, filem animasi yang sedang hangat ditayangkan dipawagan seluruh Malaysia.
Penuh satu panggung wayang ni. Masing-masing tidak sabar mahu menonton filem Smurfs. Tapi sebelum tu, pihak RMHC telah memberikan sedikit sumbangan kepada ketiga-tiga rumah kebajikan yang hadir. Alhamdulillah, murah rezeki kanak-kanak ni.
Filem Smurfs : The Lost Village ini mengisahkan tentang Smurffette yang sering tertanya-tanya tentang identiti dirinya yang sebenar kerana dia bukan lah Smurfs yang sebenar. Smurffette merupakan Smurfs buatan hasil daripada ahli sihir jahat, Garganel. Smurffette kemudiannya terjumpa dengan peta legenda desa Smurfs di kawasan larangan semasa dia berada didalam tahanan Garganel. Smurffette memulakan misi mencari kebenaran tentang legenda desa Smurfs bersama Brainy, Clumsy dan Hefty. Mereka harus bergerak cepat sebelum Garganel, ahli sihir jahat menemuinya dahulu. Dalam perjalanan penuh rintangan dan bahaya, mereka tetap bersemangat untuk menemukan desa yang hilang itu. Malah mereka juga telah membongkar satu rahsia besar dalam sejarah kaum Smurfs.
Pada Ayue, filem seperti ini bagus untuk ditonton kerana ia mengajar erti semangat setia kawan dan tidak berputus asa walau apa saja rintangan yang datang. Yang penting kita berusaha mendapatkan apa yang kita mahukan.
Selesai menonton, kanak-kanak dari rumah kebajikan ini juga disajikan dengan Happy Meal dari McDonald's untuk makan tengahari mereka. Kanak-kanak diluar sana pun gembira apabila diberikan Happy Meals, inikan pula mereka yang kurang bernasib baik ini. Tidak lekang senyuman dari bibir mereka. Lagi-lagi apabila mereka mendapat mainan yang ada di dalam Happy Meals untuk dibawa pulang. Sekecil-kecil hadiah pun sudah cukup membahagiakan mereka. Hati mana yang tidak tersentuh?
Ayue akui, dulu sebelum berumah-tangga, Ayue lebih gemar habiskan masa bersama rakan-rakan. Tapi bila Ayue sendiri telah berkeluarga, Ayue faham betapa saat-saat bersama keluarga tu sangat berharga terutama bila Ayue kehilangan ayah tersayang. Perasaan tu sangat pedih. Ayue yang dewasa ini pun rasa tidak tertanggung sedihnya, apatah lagi seorang kanak-kanak.
Ayue kagum dengan kanak-kanak ini kerana hati mereka sangat kuat dan kental sebab dari kecil lagi diberikan ujian sehebat ini. Ayue yang dah dewasa ini pun belum tentu sekuat mereka. Disebalik keseronokan menghabiskan masa bersama mereka, kanak-kanak ini juga mengajar Ayue dan suami untuk lebih menghargai insan tersayang terutama ibu bapa kita.
Kita akan mula rasa kosong dan kehilangan apabila mereka sudah tiada. Tiada kasih sayang seperti ibu bapa dan keluarga sendiri. Jadi hargai lah keluarga anda. Luangkan lebih banyak masa bersama mereka dan cipta sebanyak mungkin memori yang indah walaupun hanya menonton filem. Memori-memori inilah yang akan membuat anda tersenyum bila mereka tidak kelak.
Ayue bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama kanak-kanak dari rumah kebajikan ini. Pengalaman yang sangat bermakna pada Ayue. Jom sama-sama bantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini?
xoxo,
thanks Auntie Ayue ajak The Ilhams join tengok movie.. :)
ReplyDelete- Hernee Nazir -