Sambutan MYDIN 60 Tahun

24 August 2017

Siapa sangka? Implikasi derita perang dunia kedua, musibah kebakaran kedai papan pertama, kesukaran mendapat pinjaman biaya pasar raya pertama, sederap hanya mampu menjadi lipatan sejarah dalam langkah perjalanan MYDIN meniti usia! Inilah realitinya! Hari ini, seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun MYDIN Ke-60 #MYDIN60Tahun yang diadakan dengan penuh kemeriahan, kebanggaan dan kesyukuran. Buat julung kalinya, MYDIN mengadakan sambutan ke-60 tahun dengan sokongan padu daripada rakan penaja untuk meraikan kejayaan MYDIN di dalam dunia peruncitan yang usianya sudah menjangkau lebih daripada setengah abad. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran pihak pengurusan tertinggi rakan penaja, rakan pembekal, pihak berkuasa tempatan, ahli lembaga pengarah MYDIN dan rakan media.


Menyelusuri rentetan ceritera kronologi perjalanan perniagaan MYDIN pasca perang dunia kedua yang bermula dengan kedai papan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1957. Selang dua dekad kemudian, kedai MYDIN yang kedua telah dibuka di Kuala Terengganu pada tahun 1979 dan tahun 1987 cawangan kedai MYDIN yang ketiga telah dibuka di Lembah Klang, iaitu di Jalan Masjid India. Tahun 2016 merupakan tahun keramat dan batu loncatan kepada MYDIN dalam mengembangkan empayar perniagaannya apabila pasar raya besar borong pertama telah dibuka di USJ, Subang Jaya. Sehingga kini, MYDIN sudah mempunyai 322 buah cawangan dengan 10 buah format perniagaan.


Kata Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali bin Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. "Syukur Alhamdulillah, sudah enam dekad MYDIN berkhidmat untuk Malaya dan Malaysia. Menyambut ulang tahun yang sama dengan negara tercinta Malaysia, pastinya bukan sesuatu yang dirancang, tetapi sebaliknya satu kebetulan yang patut dibanggakan, terutama nya dalam kalangan kami, warga MYDIN sekalian. Tidak dinafikan, bermula daripada tahun 1957, saban hari terlalu banyak cabaran dan dugaan, air mata dan gelak tawa serta kegagalan dan kejayaan dalam meniti usia MYDIN yang kini mencecah 60 tahun. Sesungguhnya, semua inilah yang mematangkan dan menjadi pembakar semangat kepada MYDIN untuk terus berusaha merealisasikan misi MYDIN untuk menjadi syarikat borong dan runcit yang terunggul dengan nilaian yang terbaik, pilihan barangan yang lengkap dan pelbagai serta kecemerlangan berterusan berdasarkan formula perniagaan MYDIN."

Pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun MYDIN Ke-60 ini, kesemua 81 penaja akan diumumkan secara rasmi dan pemberian memento kepada semua rakan penaja akan disempurnakan oleh Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN. Rakan penaja untuk sambutan ulang tahun MYDIN 60 Tahun ini terdiri daripada rakan penaja berlian, rakan penaja platinum, rakan penaja emas, rakan penaja perak, rakan penaja gangsa dan rakan penaja sokongan. Majlis perasmian hari ini akan diserikan dengan persembahan daripada dua artis hebat tanah air, iaitu Anuar Zain dan Jaclyn Victor. Di samping itu, eksklusif sempena ulang tahun MYDIN Ke-60, Ice Watch dan MYDIN telah bekerjasama untuk mengeluarkan jam tangan edisi khas sebagai cenderamata kepada semua rakan penaja bagi sambutan ulang tahun MYDIN ke-60 yang cukup bermakna ini.


Pelbagai aktiviti hiburan, promosi hebat, kempen menarik akan dilaksanakan sepanjang sambutan ulang tahun MYDIN yang ke-60 yang akan berlangsung selama lima bulan, seperti peraduan P&G dan MYDIN, yang menaja 60 pemenang terpilih mengerjakan ibadah Umrah, Program Tebus Produk Penaja (Nestle, P&G, BABAS & SAFI), Promosi RM6 untuk Pendaftaran/Pembaharuan keahlian Kad Meriah, Radio Domination Suria FM selama sehari, Peraduan di Laman Sosial, Konsert Suria JAM, Konsert Hot FM, Majlis pelancaran produk-produk baru rakan penaja dan banyak lagi. Tambahan lagi, promosi hebat serendah Enam Sen (RM0.06) menanti para pelanggan MYDIN di seluruh cawangan hari ini, 17 Ogos 2017.


Hasil daripada usaha kerjasama dengan The Star juga, kemeriahan sambutan ulang tahun MYDIN Ke-60 ini turut dipanjangkan di 60 buah sekolah terpilih di seluruh Malaysia bersempena dengan kempen #RAISETHEFLAGMY. Pada 18 Ogos 2017, sebanyak 10,000 akhbar tambahan The Star akan diagihkan kepada semua pelajar di sekolah-sekolah dengan harapan untuk menyemarakkan kempen #RAISETHEFLAGMY dan sambutan Hari Kebangsaan 2017. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN dan Datuk Seri Wong Chun Wai, Pengarah Urusan The Star Media Group akan bersama-sama turun padang pada 18 Ogos 2017 untuk mengagihkan origami bendera Jalur Gemilang kepada para pelajar di sekolah.

Lebih istimewa lagi, sambutan MYDIN 60 Tahun ini akan disenaraikan di dalam Malaysia Book of Records – The Largest Jalur Gemilang Origami Circulation Nationwide (total: 465,000 Jalur Gemilang Origami) melalui akhbar The Star dan Sinar Harian. Pastinya segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan sinergi daripada semua rakan penaja dalam masa lima bulan berturut-turut. Selain itu, sebagai menghargai tempat permulaan perniagaan MYDIN dan sempena ulang tahun MYDIN Ke-60 ini, MYDIN juga akan mengadakan “Majlis Korban & Kenduri Kesyukuran” pada 3 September 2017 bersamaan dengan 12 Zulhijjah 1438H di Kelantan.

Jutaan terima kasih dan apresiasi diucapkan kepada semua 81 rakan penaja atas segala sokongan dan kerjasama yang baik dalam usaha memastikan segala perancangan sambutan ulang tahun MYDIN yang ke-60 ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis Perasmian Ulang Tahun MYDIN Ke-60 hari ini!



xoxo,

Join the conversation!

© AYUE IDRIS. Design by Eve.